Monday, June 30, 2008

Episod 2 - Celik Minda

Dari Meja Cikgu Kaunseling
Salam manis pelajar sekalian,
Sedar tak sedar, sekarang sudah penghujung bulan Jun. Pasti adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan STPM, SPM dan PMR semakin berdebar-debar menati tibanya detik penentuan tersebut. Apapun, cikgu nak semua adik-adik tenangkan fikiran, dan pergunakan sebaiknya masa yang masih ada ini untuk mengulangkaji pelajaran.
Dalam edisi sulung ini, cikgu amat mengalu-alukan adik-adik untuk menyalurkan idea dan pelbagai pendapat supaya informasi yang disediakan dapat lebih membantu adik-adik semua. Caranya? Cikgu ada sediakan panduan di bawah risalah ini.
Untuk panduan yang lebih mendalam, silalah berjumpa dengan guru kaunseling adik-adik, pasti ada lebih banyak maklumat bermanfaat yang boleh diperolehi.. Kaunseling bukan untuk pelajar yang bermasalah sahaja.. jangan silap tau! Cikgu kaunseling memang sedia membantu dari segi kerjaya, maklumat mengenai dadah, ujian-ujian psikologi yang sahih, selain dari teknik mengulangkaji dan tips menghadapi peperiksaan... Oleh itu, jangan segan dan jangan malu, pintu bilik Bimbingan & Kaunseling sentiasa terbuka untuk menerima pelajar sekalian.
Cikgu percaya, setiap pelajar punya potensi untuk berjaya, dan setiap pelajar inginkan kehidupan yang terbaik untuk masa depan. Nantikan edisi akan datang dan salam ceria!
Cikgu Dewi




PANDUAN MENJADI REMAJA HEBAT
Adakah anda ingin melangkah lebih jauh dalam hidup? Tapi tiada matlamat? Tiada wawasan? Tidak tahu caranya?

Tips 1 :
Buatlah matlamat yang spesifik
Ø Nyatakan dengan jelas apa yang kita mahu. Apa? Bila? Siapa? Berapa lama? Di mana? Bagaimana? Dan apa-apa penjelasan yang dirasakan perlu.

Tips 2 :
Jadikan matlamat itu suatu yang dapat diukur.
Ø Apabila tiba tempoh masa yang ditetapkan, kita dapat menilai samada kita berjaya mencapainya atau tidak. Contoh, mendapat ’A’ dalam subjek Matematik. Jika matlamat kita ’hendak menjadi seorang yang gembira’, sudah pastilah sukar untuk dinilai.

Sumber: Resepi Kejayaan Untuk Remaja,
Ahmad Fadzli Yusof, A. Razak A. Muthalib




Episod 1 - Ini Permulaan

Salam manis buat adik-adik pelajar sekalian,
Pertamanya, terima kasih cikgu ucapkan kerana berkesempatan menjenguk laman blog cikgu yang tak seberapa ini. Namun, cikgu harapkan permulaan ini akan memberi ruang yang lebih luas antara kita untuk saling berinteraksi tanpa sebarang kerisauan.
Dalam ruangan ini, cikgu akan perkenalkan pelbagai isu menarik, dan mungkin beberapa tips dan panduan yang berguna sebagai rujukan adik-adik pelajar. Namun, jangan sekali-kali teragak-agak untuk terus berjumpa dengan cikgu jika adik-adik pelajar memerlukan bimbingan yang lebih menyeluruh, kerana apa yang akan cikgu sediakan adalah sekadar untuk halwa mata adik-adik.
Mungkin ramai pelajar yang mengenali cikgu, tapi mungkin ramai yang belum mengenali. Cikgu merupakan seorang guru kaunseling, dan cikgu suka untuk membantu adik-adik pelajar sekalian. Meskipun cikgu masih lagi bertatih dalam alam pekerjaan, namun cikgu akan pastikan adik-adik pelajar dapat semaksimum mungkin maklumat yang diperlukan sebagai bekalan pada masa hadapan. Cikgu juga sangat mengalu-alukan sumbangan dari semua individu yang mempunyai idea menarik untuk menjadikan laman blog ini lebih hangat.
Semoga bertemu lagi dalam episod akan datang... nantikan buletin khas edaran Unit Bimbingan Kaunseling 'CELIK MINDA'...
Salam ceria, salam penuh berwawasan...