Friday, June 24, 2011

Mitos dan Fakta


Mitos - Tidak salah jika penagih heroin mengambil bahan lain seperti minum arak.
Fakta - Menagih heroin dan bahan-bahan ketagihan lain akan menyebabkan ketagihan berulang.

Mitos - Penagih tidak akan mempunyai penyakit ketagihan lagi selepas berhenti.
Fakta - Penagih akan seumur hidupnya mengalami proses ketagihan.

Mitos
- Ubat sahaja sudah mencukupi untuk pemulihan.
Fakta - Ubat adalah untuk melicinkan penagih menjalani program rawatan yang mana pemulihan sangat sukar dilakukan tanpanya.

Mitos - Hantar penagih ke luar kawasannya bagi membolehkannya berhenti.
Fakta - Mereka hanya akan berhenti untuk tempoh dua tiga bulan sahaja sebelum menagih semula.

Mitos - Kahwinkan sahaja dengan segera penagih muda supaya dia berhenti.
Fakta - Penagih tidak mengira tanggungjawab yang dipikulnya dengan berkahwin bahkan menyusahkan orang lain.

Mitos
- Elok dihantar penagih dadah mendapatkan pendidikan kerohanian seperti sekolah pondok.
Fakta - Kerohanian sahaja tidak memadai untuk pemulihan tetapi ia merupakan salah satu daripada proses pemulihan.

Kuiz Berkenaan Pencegahan Dadah

http://www.acde.org/youth/quiz.htm

Panduan Cikgu Untuk P&P PPDa

Bagaimanakah Unsur Pendidikan Pencegahan Dadah Dan Penyakit AIDS Dapat Diserap?

Masalah penggunaan dadah dan penyakit AIDS di negara ini kian meningkat dan salah satu daripada pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah melalui pendidikan pencegahan dadah dan penyakit AIDS.

Matlamat pendidikan pencegahan dadah dan penyakit AIDS adalah untuk membentuk pelajar yang mengetahui dan menyedari tentang bahayanya dadah dan penyakit AIDS dan berupaya membina ketahanan diri dan menjauhkan daripada dadah dan penyakit AIDS.

Objektif pendidikan pencegahan dadah dan penyakit AIDS adalah untuk membolehkan pelajar:

  • memperoleh pengetahuan dan kefahaman mengenai dadah dan penyakit AIDS
  • memperoleh kemahiran dalam mengenal pasti masalah emosi dan sosial remaja dan membuat keputusan yang baik
  • menghayati dan mengamalkan nilai dan sikap yang positif dan kehidupan yang sihat, selamat dan sejahtera.

Pendidikan pencegahan dadah dan penyakit AIDS tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tersendiri, tetapi unsur-unsurnya diserap merentas kurikulum

Aktiviti yang boleh digunakan untuk menyerapkan unsur-unsur pendidikan pencegahan dadah dan penyakit AIDS termasuk:

  1. soal jawab
  2. perbincangan
  3. bacaan
  4. ceramah
  5. lawatan
  6. tayangan TV/ video
  7. kerja projek
  8. lakonan
  9. simulasi
  10. main peranan
  11. demonstrasi
  12. perbahasan
  13. cerita
  14. lukisan/ lakaran

Guru perlu merujuk kepada Buku Panduan Guru, Pendidikan Pencegahan Dadah dalam KBSM, PPK, 1994 dan juga kepada berbagai-bagai risalah dan poster tentang dadah dan penyakit AIDS yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan atau lain-lain agensi.

sumber : http://www.teachersrock.net

Kajian Penagihan Dadah

http://www.usm.my/drug/presentation/15

Tanda-tanda Penagihan Dadah

Simptom atau tanda berikut perlu diberi perhatian. Sesetengah dari simptom ini boleh berlaku berasingan atau hanya satu simptom, namun ada setengahnya pulaberkombinasi dengan simptom-simptom yang lain.

  • Adanya perubahan/ merosot kehadiran atau prestasi mutu kerja, hasil kerja dan disiplin di sekolah/ tempat kerja.
  • Marah-marah atau meradang tak tentu sebab.
  • Turun berat badan, selalu menguap dan tidak bermaya.
  • Hilang selera makan atau selera bertambah.
  • Permukaan mata berkaca, cengkung, mata berair dan kuyu.
  • Apabila bercakap tidak bertentang mata.
  • Kemerosotan paras rupa dan kebersihan diri, tidak ceria, muka menjadi pucat.
  • Parut atau bekas suntikan di lengan.
  • Diri menjadi tidak terurus seperti malas mandi, gosok gigi.
  • Hujung jari dan kuku berwarna kekuningan atau kemerahan.
  • Selalu menggaru terutamanya dibahagian hidung dan kelakuan aneh.
  • Suka memencilkan diri di dalam bilik air, setor, rumah kosong, masuk di dalam semak dan tempat dimana tiada orang.
  • Tidak mahu makan bersama –sama keluarga dan suka makan di tengah malam berseorangan.
  • Hilang minat terhadap sukan, muzik dan sebagainya.
  • Suka menyembunyikan barang-barang persendirian, tidak suka akan pertanyaan dari orang lain, bertanyakan apa yang dilakukan, menjadi seorang pendiam dan kuat berahsia.
  • Menjadi rajin, agresif, tersengih-sengih atau terlalu gembira secara tiba-tiba.
  • Suka berkawan dengan orang lain tanpa kebenaran, kerap meminta atau meminjam wang tanpa membayar balik.
  • Melakukan kegiatan mencuri di sekolah, rumah, tempat kerja, rumah jiran, kawan dan saudara mara.
  • Suka berbohong, menipu dan berpura-pura berlagak baik atau main wayang.
  • Menjadi orang yang tidak bertanggungjawab dan selalu menyalahkan orang lain.
  • Hilang tumpuan terhadap kerja atau tugasan dan tidak dapat menyudahkan kerja yang diberi (kerja separuh jalan atau kerja tidak pernah siap).
  • Keluar rumah pada masa tertentu, mungkin untuk berjumpa pengedar.
  • Meminta wang berlebihan daripada ibu bapa.
  • Mengasingkan diri daripada rakan-rakan dan kegiatan masa lapang.
  • Berdampingan dengan mereka yang diketahui penagih.
Sekiranya anda melihat dan berjaya mengenalpasti perubahan-perubahan yang tiba-tiba ini berlalku terhadap perangai ahli keluarga atau teman anda yang dikasihi, sila dapatkan nasihat doktor ataupun pegawai pemulihan dadah untuk mendapatkan kepastian.Perubahan-perubahan ini selalunya mempunyai hubungan dengan penggunaan dadah.Jangan sesekali membuat diagnosa anda sendiri!

Sahabat PEMADAM

PEMADAM mempelawa pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menyertaiPEMADAM sebagai Ahli SAHABAT PEMADAM.

Apakah dia Ahli Sahabat PEMADAM?

Sahabat PEMADAM adalah sebuah forum yang dibentuk oleh PEMADAM Kebangsaan bagi menjana penglibatan para pelajar sekolah rendah dan menengah serta golongan remaja dalam usaha mengekang merbahaya serta ancaman najis dadah di peringkat sekolah, komuniti, daerah, negeri dan peringkat PEMADAM Kebangsaan bagi membantu negara mencapai Status Negara Bebas Dadah menjelang Tahun 2015. Oleh itu, Sahabat PEMADAM adalah golongan individu khususnya terdiri dari masyarakat pelajar sekolah rendah dan menengah yang secara rasmi dan berdaftar memegang kad Sahabat PEMADAM sebagai satu pengiktirafan. Sebagai golongan generasi muda-mudi, Sahabat PEMADAM amat sesuai sekali membentuk gerakan dan pengaruh rakan sebaya, bukan sahaja dikalangan sesama mereka tetapi juga dikalangan masyarakat pelajar lain di dalam dan di luar sekolah.

Apakah Tugas Sebagai Ahli Sahabat PEMADAM?

Sahabat PEMADAM adalah satu pasukan kepimpinan di peringkat negeri dan daerah sebagai satu jentera penghubungan dan pelaksana. Selain itu Sahabat PEMADAM menjadi aktivis PEMADAM (Role Model) dalam menyampaikan mesej kesedaran anti dadah di kalangan generasi pelapis pemimpin masa depan negara. Setiap Ahli Sahabat PEMADAM menyokong perkara-perkara berikut :-
  1. Usaha menghormati semangat patriotisme, hidup beragama, keutuhan berkeluarga, bermuhibbah dan perpaduan.
  2. Usaha pencegahan dadah, MUSUH UTAMA NEGARA.
  3. Usaha Membasmi Tabiat Merokok dan minuman keras/alkohol.
  4. Kempen Anti Amfetamin (A.T.S).
  5. Usaha Pencegahan segala gejala sosial.

Bagaimana cara menjadi Ahli Sahabat PEMADAM?

Pelajar-pelajar adalah diberikan kad Sahabat PEMADAM pada masa acara/program Anti Dadah seperti Jambori SLAD, Kolokium Kepimpinan, PROGRESS, Kem Waja Diri, Kem PINTAR dan sebagainya. Setiap pelajar perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu aktiviti Anti Dadah di sekolah sebagai satu kelayakan untuk menerima kad. Setiap kad Sahabat PEMADAM mempunyai nombor siri. Seseorang pelajar yang menerima kad yang bernombor siri ini hendaklah mengaktifkan penerimaan kad ini dengan membuat pendaftaran di Pejabat PEMADAM Kebangsaan dengan mengembalikan borang butir-butir diri yang terdapat di dalam borang pendaftaran Sahabat PEMADAM ke alamat PEMADAM Kebangsaan, No. 8, Jalan Ledang, 50480 Kuala Lumpur atau faks di nombor 03-20941190 atau melalui pendaftaran online di laman web PEMADAM www.pemadam.org.my.

Apakah faedah sebagai Ahli SAHABAT PEMADAM?

Menjadikan diri anda sebagai seorang insan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat, agama dan negara, maka amat penting menjadikan diri kita - " APA YANG BOLEH SAYA SUMBANGKAN KEPADA NEGARA ". Maka faedahnya menjadi ahli Sahabat PEMADAM ini adalah kita dapat sumbangkan khidmat dan memberikan sokongan padu terhadap dasar kerajaan untuk Memerangi Dadah Habis-Habisan.