Friday, June 24, 2011

Sahabat PEMADAM

PEMADAM mempelawa pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah untuk menyertaiPEMADAM sebagai Ahli SAHABAT PEMADAM.

Apakah dia Ahli Sahabat PEMADAM?

Sahabat PEMADAM adalah sebuah forum yang dibentuk oleh PEMADAM Kebangsaan bagi menjana penglibatan para pelajar sekolah rendah dan menengah serta golongan remaja dalam usaha mengekang merbahaya serta ancaman najis dadah di peringkat sekolah, komuniti, daerah, negeri dan peringkat PEMADAM Kebangsaan bagi membantu negara mencapai Status Negara Bebas Dadah menjelang Tahun 2015. Oleh itu, Sahabat PEMADAM adalah golongan individu khususnya terdiri dari masyarakat pelajar sekolah rendah dan menengah yang secara rasmi dan berdaftar memegang kad Sahabat PEMADAM sebagai satu pengiktirafan. Sebagai golongan generasi muda-mudi, Sahabat PEMADAM amat sesuai sekali membentuk gerakan dan pengaruh rakan sebaya, bukan sahaja dikalangan sesama mereka tetapi juga dikalangan masyarakat pelajar lain di dalam dan di luar sekolah.

Apakah Tugas Sebagai Ahli Sahabat PEMADAM?

Sahabat PEMADAM adalah satu pasukan kepimpinan di peringkat negeri dan daerah sebagai satu jentera penghubungan dan pelaksana. Selain itu Sahabat PEMADAM menjadi aktivis PEMADAM (Role Model) dalam menyampaikan mesej kesedaran anti dadah di kalangan generasi pelapis pemimpin masa depan negara. Setiap Ahli Sahabat PEMADAM menyokong perkara-perkara berikut :-
  1. Usaha menghormati semangat patriotisme, hidup beragama, keutuhan berkeluarga, bermuhibbah dan perpaduan.
  2. Usaha pencegahan dadah, MUSUH UTAMA NEGARA.
  3. Usaha Membasmi Tabiat Merokok dan minuman keras/alkohol.
  4. Kempen Anti Amfetamin (A.T.S).
  5. Usaha Pencegahan segala gejala sosial.

Bagaimana cara menjadi Ahli Sahabat PEMADAM?

Pelajar-pelajar adalah diberikan kad Sahabat PEMADAM pada masa acara/program Anti Dadah seperti Jambori SLAD, Kolokium Kepimpinan, PROGRESS, Kem Waja Diri, Kem PINTAR dan sebagainya. Setiap pelajar perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu aktiviti Anti Dadah di sekolah sebagai satu kelayakan untuk menerima kad. Setiap kad Sahabat PEMADAM mempunyai nombor siri. Seseorang pelajar yang menerima kad yang bernombor siri ini hendaklah mengaktifkan penerimaan kad ini dengan membuat pendaftaran di Pejabat PEMADAM Kebangsaan dengan mengembalikan borang butir-butir diri yang terdapat di dalam borang pendaftaran Sahabat PEMADAM ke alamat PEMADAM Kebangsaan, No. 8, Jalan Ledang, 50480 Kuala Lumpur atau faks di nombor 03-20941190 atau melalui pendaftaran online di laman web PEMADAM www.pemadam.org.my.

Apakah faedah sebagai Ahli SAHABAT PEMADAM?

Menjadikan diri anda sebagai seorang insan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat, agama dan negara, maka amat penting menjadikan diri kita - " APA YANG BOLEH SAYA SUMBANGKAN KEPADA NEGARA ". Maka faedahnya menjadi ahli Sahabat PEMADAM ini adalah kita dapat sumbangkan khidmat dan memberikan sokongan padu terhadap dasar kerajaan untuk Memerangi Dadah Habis-Habisan.

No comments: